Jerebu jejas latihan atlet

SKUAD ski air yang menjalani latihan di Putrajaya terganggu akibat jerebu tebal.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

JEREBU yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu jelas memberi kesan terhadap persiapan beberapa pasukan kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina.

Tinjauan pagi tadi mendapati skuad ski air yang menjalani latihan di Putrajaya misalnya terpaksa memendekkan tempoh latihan daripada dua jam kepada setengah jam kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat iaitu 203.

Ketua jurulatih ski air negara, Hanifah Yoong berkata, beliau memutuskan untuk memendekkan tempoh latihan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kesihatan atletnya terjejas.

“Jika latihan tidak dikurangkan (dibimbangi) beri kesan kepada kesihatan atlet. Jika tidak berhenti latihan, mungkin boleh dapat penyakit paru-paru. Jika ada asma lagi teruk.

“Tapi nak berhenti latihan kita akan ketinggalan untuk mencapai apa yang dirancang untuk Sukan SEA,” katanya.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan Institut Sukan Negara (ISN) akan menjalankan pemantauan berterusan terutama bagi mengurangkan kesan risiko kepada atlet dan penggiat sukan akibat masalah jerebu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli dipetik berkata, pihaknya menggunakan beberapa pendekatan termasuk mengenal pasti atlet yang mendapatkan rawatan berkaitan masalah itu di klinik ISN.

ISN juga membekalkan topeng muka bersesuaian kepada atlet jika diperlukan, memastikan bekalan ubatan berkaitan masalah pernafasan dan kesan jerebu serta bekalan sumber air minuman mencukupi bagi kegunaan atlet di sekitar lokasi latihan atlet di ISN.

Peranti pengesanan jerebu bagi mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih tepat turut dipasang di sekitar Kompleks Sukan Negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 16 Sep 2019