Peluang Hup Wei tingkat prestasi

LEE Hup Wei (gambar file).
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

BIARPUN peluang menaiki podium tipis, jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei ditagih untuk mempamerkan aksi terbaik sebagai wakil tunggal negara ke Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) 2019 di Doha, Qatar, minggu depan.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil yakin atlet berpengalaman berusia 32 tahun itu berupaya memberi saingan kepada atlet lain di kejohanan berprestij berkenaan.

“Walaupun sasaran untuk meraih pingat mungkin tidak realistik, Hup Wei diharap mampu melakukan sesuatu terutama meningkatkan prestasi lompatan ke tahap lebih baik.

“Peluang menyertai kejohanan olaraga tertinggi dunia itu perlu digunakannya sebaik mungkin sekali gus menjadi persiapan akhir menjelang Sukan SEA Filipina nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Kata Mohd Manshahar, beliau turut mengharapkan sandaran negara di bawah bimbingan Alexander Gasparyan itu dapat memperbaiki catatan terbaik musim ini iaitu 2.27 meter (m).

Arena Metro sebelum ini melaporkan Hup Wei mengakui dirinya pada prestasi terbaik dan bersedia menggegar kejohanan IAAF bermula 28 September hingga 6 Oktober depan itu.

Dia menjadi wakil tunggal negara dihantar ke kejohanan itu oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melalui penyertaan ‘wild card’ selepas tiada atlet negara lain berjaya melepasi syarat kelayakan secara merit.

Walaupun gagal melepasi had kelayakan 2.30m, kedudukannya di ranking ke-21 dunia membolehkan Hup Wei mengatasi pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Nauraj Singh Randhawa di kedudukan ke-46.

Pada KL2017, Hup Wei meraih pingat perak dengan catatan 2.24m yang turut menyamai pencapaian rekod dilakar bekas atlet negara, Loo Kum Zee di Sukan SEA Thailand 1995.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 21 Sep 2019