ATLET papan selaju, Arina Rahman mahu penampilan sulungnya di Sukan SEA Filipina, November depan mampu menjelmakan pingat emas buat kontinjen negara.
Biarpun berpengalaman lebih 10 tahun dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, Arina mengaku teruja menyertai acara yang kali pertama dipertandingkan di temasya dwitahunan itu.
“Saya hanya mengetahui terpilih untuk mewakili negara bagi kategori 'park' melalui Vans Malaysia dan Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE) awal tahun ini.
“Namun, berbekalkan pengalaman dan latihan di beberapa negara Eropah, saya akan mempamerkan aksi terbaik di Filipina nanti,” katanya ketika ditemui pada program House of Vans Kuala Lumpur di Depot Sentul, semalam.
Peluncur berusia 28 tahun dari Kajang itu berkata, dia akan menjalani latihan di Bali, Indonesia sebagai persiapan akhir menjelang Sukan SEA yang berbaki kurang 70 hari lagi.
“Saya kini cuma mahu konsisten mengekalkan prestasi menerusi tunjuk ajar rakan peluncur antarabangsa lain dan sokongan kuat keluarga,” katanya.
Arina berkata, cabaran negara turut bakal digalas dua atlet lain bagi kategori 'street', 'game of skate' dan 'downhill'.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini mengumumkan papan selaju antara 12 sukan yang disenaraikan ke Sukan SEA selepas menerima rayuan dikemukakan persatuan sukan bukan ahli gabungan badan induk itu.
Untuk rekod, Arina masih berada di depan peserta Asia Tenggara lain selepas meraih tempat keempat kejohanan kelayakan Asia, Vans Park Series (VPS) di Singapura, bulan lalu.
Namun, dia dijangka berdepan saingan sengit atlet berpengalaman Filipina yang menetap di Amerika, Jericho 'Kiko' Francisco Jr untuk perebutan pingat emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd