Sinar baru Kisona

S Kisona.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KETIKA Goh Jin Wei masih bergelut dengan prestasi berikutan masalah kesihatan di bahagian perutnya, S Kisona memberi sinar baru dalam acara perseorangan wanita negara apabila muncul juara Siri Antarabangsa Terbuka Sydney hari ini.

Pada aksi final, Kisona mempamer aksi terbaiknya untuk menewaskan pemain Jepun, Shiori Ebihara 21-18, 21-13 dalam tempoh 36 minit.

Ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua dimenangi pemain berusia 20 tahun itu pada tahun ini selepas menjuarai Siri Antarabangsa Terbuka Hellas bulan lalu.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan lawan saya mempunyai kelebihan fizikal.

"Saya perlu melakukan persediaan rapi dari sudut mental dan fizikal sebelum dapat memenangi perlawanan ini," katanya ketika dihubungi.

Kisona adalah nama yang disebut-sebut sebagai pengganti terbaik untuk Jin Wei di Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan sekiranya juara bertahan acara perseorangan wanita itu tidak disenaraikan berikutan masalah kesihatannya.

Bagi Kisona, dia sememangnya berharap dapat beraksi di Sukan SEA dalam usahanya untuk terus mengukuhkan namanya.

"Saya akan terus melakukan persediaan bukan hanya untuk Sukan SEA tetapi kejohanan lain," katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lim Chong King tewas 8-21, 15-21 di tangan pemain Jepun, Yusuke Onodera.

Turut mengalami nasib sama beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tewas kepada pasangan Taiwan, Cheng Yu Chieh-Tseng Yu Chi 17-21, 21-17, 13-21.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 22 Sep 2019