Dhaarma sahut cabaran

MUHAMMAD Dhaarma Raj Abdullah. FOTO arkib NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

CABARAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang mahu skuad hoki dalam dewan wanita negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan disahut oleh Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Beliau yang diumumkan menjadi ketua jurulatih hoki dalam dewan wanita menggantikan Yahya Atan ketika temasya sukan itu hanya berlangsung kira-kira dua bulan lagi mengakui ia satu tugas yang sukar.

"Sebagai pekerja saya perlu mengikuti arahan majikan. Mereka meletakkan kepercayaan kepada saya dan untuk itu saya perlu mempersiapkan pasukan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Dhaarma bagaimanapun memberi bayangan kemungkinan akan melakukan rombakan di dalam pasukannya.

"Ketika ini ada seramai 34 pemain yang berada dalam senarai panjang. Saya mahu bersikap adil dengan melihat prestasi setiap pemain.

"Pastinya 12 yang terbaik akan saya pilih untuk beraksi di Filipina," katanya.

Pengendali skuad hoki padang wanita negara itu mengakui tidak mempunyai pengalaman membimbing skuad hoki dalam dewan namun beliau percaya barisan kejurulatihan termasuk pemain akan membantunya.

"Ada beberapa perlawanan persahabatan yang akan dilalui oleh skuad negara dan saya harap ia cukup untuk kami melakukan persiapan ke Sukan SEA," katanya yang memulakan tugasnya semalam.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan semalam berkata, Dhaarma menggantikan Yahya selepas mendapat permintaan dari Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahu skuad hoki dalam dewan wanita meraih emas di Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 23 Sep 2019