Wan Jin bantu skuad taekwondo

ATLET taekwondo negara (dari kiri) Syafiq Zuber, Ahmad Nor Iman Hakim, Khim Wen dan Agustine Rudy Anak Grocer. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

SKUAD taekwondo kebangsaan mendapat suntikan semangat baharu dengan kehadiran rakan sepelatih bertaraf dunia dari Korea Selatan untuk membantu persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina, November ini.

Kang Wan Jin yang kini menghuni ranking pertama dunia bagi acara poomsae dijadualkan menjalani latihan selama dua minggu di negara ini bulan depan.

Ketua jurulatih taekwondo negara, Yap Yih Ting berkata, semua atlet diharap memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin untuk terus memperbaiki prestasi menjelang temasya dwitahunan yang berbaki kurang 70 hari.

“Saya percaya kehadiran Wan Jin yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 akan menyuntik semangat kem dan atlet kami untuk meraih pingat di Manila.

“Tahun lalu, kami turut menjemput atlet bertaraf dunia untuk bersama menyertai latihan dan ternyata ia membuahkan pingat gangsa kepada kontinjen negara,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Yih Ting, beliau turut optimis kem negara mampu meraih pingat dengan turut diperkuatkan dengan jurulatih dari Korea Selatan, Jin Jun Beom.

Taekwondo menyasarkan dua pingat emas masing-masing bagi acara kyorugi dan poomsae di Filipina.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad taekwondo meraih tiga emas menerusi Chew Wei Yan (poomsae lelaki) dan Yap Khim Wen (poomsae wanita) serta Rozaimi Rozali (kyorugi lelaki).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 25 Sep 2019