Juwaidi harap terus konsisten

Juwaidi mahu menyerlah pada Kejohanan Memanah Asia. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PEMANAH compound, Mohd Juwaidi Mazuki berharap kecemerlangannya di pentas antarabangsa berterusan apabila beraksi di Kejohanan Memanah Asia pada November nanti.

Dia muncul pemanah negara paling cemerlang selepas meraih lima emas dalam dua siri Piala Asia yang berlangsung di Taiwan dan Filipina yang turut menjadi pra kejohanan Sukan SEA pada awal bulan ini.

"Selepas ini saya dijadual menyertai Kejohanan Memanah Asia di Bangkok dan ia kejohanan antarabangsa paling hampir selepas aksi di Filipina tempoh hari.

"Saya berharap mampu meneruskan rentak yang baik di pentas antarabangsa.

Ia berhasil apabila dihantar secara berterusan menyertai kejohanan," kata pemanah berusia 29 tahun itu.

Dia menaruh harapan meraih pingat di Bangkok kerana belum pernah merasainya pada kejohanan peringkat benua itu.

Namun Juwaidi tetap tidak memandang mudah kerana sedar cabaran sengit bakal dihadapinya.

Juwaidi mula mewakili negara pada 2014 jelas berada pada tahap terbaik apabila meraih tiga emas pada siri kedua Piala Asia di Taiwan dengan memenangi acara individu, berpasukan dan campuran.

Rentak cemerlangnya diteruskan di Filipina menerusi siri ketiga Piala Asia apabila memenangi acara individu dan campuran selain gangsa berpasukan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 26 Sep 2019