Augustine buru emas pertama di Filipina

ATLET taekwondo kebangsaan (dari kiri) Mohd Syafiq Zuber, Ahmad Nor Iman Hakim, Sara Yap Khim Wen, dan Augustine ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Iskandar Shah Mohamed

sukanteam@nstp.com.my

ATLET taekwondo poomsae, Augustine Rudy Grocer membulat tekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan di Sukan SEA Filipina, November depan.

Atlet berusia 21 tahun kelahiran Sarawak itu mengakui tidak mahu berada di bawah tekanan biarpun menjadi antara sandaran untuk meraih pingat pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

"Persediaan kem negara setakat ini berjalan lancar dan saya hanya mahu kekal konsisten menjalani rutin latihan tanpa memikirkan sebarang faktor tekanan.

"Fokus saya kini hanya tertumpu kepada Sukan SEA dan berharap dapat menaiki podium buat kali pertama dengan meraih pingat emas," katanya yang memenangi pingat perak bagi acara individu lelaki di Kejohanan Terbuka Asia di Vietnam, bulan lalu.

Dalam pada itu, Augustine turut teruja dengan kehadiran atlet ranking pertama dunia dari Korea Selatan, Kang Wan Jin yang bakal menjadi rakan sepelatih skuad negara, bulan depan. "Selain menyuntik semangat atlet, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasi sekali gus membantu persiapan kami ke Filipina," katanya.

Arena Metro melaporkan skuad taekwondo mendapat suntikan baharu dengan kehadiran pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu yang dijadualkan menjalani latihan selama dua minggu di negara ini.

Taekwondo menyasarkan dua pingat emas masing-masing bagi acara kyorugi dan poomsae pada Sukan SEA yang berbaki kurang 70 hari lagi.

Pada edisi terdahulu di Kuala Lumpur, skuad kebangsaan meraih tiga emas menerusi Chew Wei Yan (poomsae lelaki) dan Yap Khim Wen (poomsae wanita) serta Rozaimi Rozali (kyorugi lelaki).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 26 Sep 2019