Syakilla sah undur

SYAKILLA SALNI JEFRY KRISNAN
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tiada lagi kelibat pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014, Syakilla Salni Jefry Krisnan selepas atlet karate kumite negara itu disahkan sudah mengambil keputusan untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya menerima surat pengunduran Syakilla kelmarin tetapi tidak menyatakan sebab terperinci mengapa dia mengundurkan diri.

Untuk itu, jelas Ahmad Shapawi, nama Syakilla tidak akan disenaraikan bagi temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

Syakilla, 27, dilaporkan berdepan masalah berat badan sejak tahun lalu hingga terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan termasuk yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas jaguh nombor satu dunia itu turut gagal menyertai Kejohanan Liga Perdana K1 di Jepun pada 6 hingga 8 September lalu selepas tidak menepati berat badan kategori 55 kilogram (kg) kumite.

“Kami masih mahu mengadakan perbincangan dengannya tetapi malangnya dia sudah menghantar surat untuk berundur dari skuad kebangsaan. Ia bermakna dia memohon untuk melepaskan dirinya daripada program. Jadi untuk Sukan SEA, nama Syakilla sudah dikeluarkan,” katanya.

Kata Ahmad Shapawi, Audrey Japyus akan menggantikan Syakilla di Filipina menerusi kategori 61kg ke atas.

Sementara itu, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, setakat ini seramai 1,193 anggota kontinjen negara akan menyertai Sukan SEA Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 27 Sep 2019