Filipina buat CDM gusar

Megat Zulkarnain (empat dari kanan) bersama atlet skuasy. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

SIKAP Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA yang sering berubah-ubah dalam membuat keputusan mengenai venue pertandingan mencetuskan rasa gusar Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Tegas Megat, tuan rumah tidak sewajarnya berbuat demikian ketika temasya dwi tahunan itu hanya akan berlangsung kira-kira dua bulan saja lagi.

"Dalam mesyuarat pengurus pasukan baru-baru ini kami terkejut apabila banyak venue yang ditukar pada saat-saat akhir dan saya pun sudah maklumkan kepada setiap pengurus pasukan supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Saya masih percaya ada venue baru yang akan mereka cuba cadangkan.

"Ketika saya pergi ke mesyuarat CDM sebelum ini kami dimaklumkan bahawa semua sekretariat, pasukan perubatan termasuk CDM akan duduk dalam perkampungan sukan tetapi yang terkini kami terima beberapa hari lalu sudah berubah.

"Kami semua nak dipindahkan keluar. Ini mencetuskan masalah terutama kepada pasukan perubatan dalam proses untuk memberikan rawatan atau perkara lain.

"Untuk Subic dan Clark tak jadi masalah sangat sebab kawasan kecil. Tetapi apa kami risaukan adalah di Manila. Ada venue dahulunya dicadangkan di Clark sudah berpindah ke Manila," katanya.

Megat juga berasa kecewa kerana masih ada acara sukan yang belum menerima buku panduan teknikal.

"Ada antara sembilan atau 10 sukan belum menerima buku panduan teknikal kerana ia cukup penting.

"Ketika kita menjadi tuan rumah dua tahun lalu, semua perkara ini sudah pun diselesaikan enam bulan sebelum berlangsungnya Sukan SEA.

Yang kali ini tinggal dua bulan saja lagi," katanya selepas melawat persiapan atlet skuasy di Bukit Jalil, hari ini.

Justeru itu beliau akan membawa itu berkenaan pada mesyuarat di Filipina bulan depan.

Temasya Sukan SEA akan berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 27 Sep 2019