7 pemain lebih usia perkasa B-23

KIM Swee (dua dari kanan) enggan dedah nama tujuh pemain lebih usia dalam perancangannya.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan bakal diperkuat sekurang-kurangnya tujuh pemain lebih usia bagi menghadapi saingan Sukan SEA Filipina, November depan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee ketika mendedahkan perancangannya itu bagaimanapun masih merahsiakan nama pemain terbabit.

“Saya menyenaraikan kira-kira enam atau tujuh pemain lebih umur (sebagai persediaan) jika berlaku sebarang kecederaan. Ini memandangkan perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan hanya akan berakhir pada 19 November, beberapa hari sebelum kita berlepas ke Manila.

“Jadi, buat ini saya tidak boleh menamakan pemain yang lebih umur itu, tapi sudah pasti saya menyenaraikan pemain di bahagian serangan, tengah dan pertahanan dalam senarai 40 pemain yang sudah dipilih setakat ini,” katanya ditemui pada pelancaran Mana Bola? anjuran akhbar Berita Harian, semalam.

Beliau turut menolak untuk menjawab ketika ditanya bayangan kesebelasan utama B-23 dan menegaskan ia hanya ditentukan pada sesi latihan utama bermula 4 November depan.

“Jika dilihat senarai pasukan kebangsaan, kita ada enam pemain bawah 22 tahun termasuk dua pemain lebih umur. Jadi, untuk dapatkan kesebelasan utama hanya pada sesi latihan nanti dan sebelum ke Manila,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak berdepan masalah biarpun kebanyakan pemain B-22 beraksi bersama skuad Tan Cheng Hoe.

“Keutamaan untuk pasukan kebangsaan. Bukan pasukan kita saja terbabit, malah Vietnam, Indonesia dan Thailand juga ada pemain mereka dalam pasukan kebangsaan untuk kelayakan Piala Dunia.

“Jadi, walaupun masa yang suntuk (latihan), ia menguntungkan pemain bawah 22 tahun kerana dapat bermain secara kompetitif di peringkat tinggi,” katanya.

Beliau dalam pada itu optimis pasukannya berpotensi meraih pingat pada temasya dwitahunan itu nanti.

“Kali ini pasukan B-23 ada peluang untuk raih pingat, tapi saya tidak boleh janjikan pingat apa. Sudah pasti setiap rakyat mahu emas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 30 Sep 2019