Adam umum tarik diri

ADAM Aris.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PERSIAPAN skuad kayak dan lumba bot tradisional kebangsaan bakal terjejas apabila kapten pasukan, Adam Aris mengumumkan penarikan diri daripada menyertai Sukan SEA Filipina, November depan.

Atlet sandaran berusia 28 tahun itu memutuskan demikian selepas kecewa dengan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) yang didakwa masih dibelenggu kemelut sekali gus membantutkan persiapan ke temasya dwitahunan berkenaan.

“Kami sehingga kini keliru dan terganggu kerana belum mengetahui siapa pengurus sebenar pasukan kerana wujud dua penyerahan senarai daripada Presiden (Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin) dan exco persatuan.

“Sebelum ini, kami sudah membuat pemilihan pasukan dan persiapan rapi. Namun, ketika mahu menghantar senarai kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia), ada percanggahan antara pengurusan persatuan sehingga membuatkan apa yang dirancang terbatal.

“Tertekan dengan keadaan itu, saya umum menarik diri daripada menyertai kedua-dua acara yang dipertandingkan,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, jurulatih kem negara, Jonathan Driskell.

Kata Adam, persiapan untuk menjalani latihan ke China sebelum ini turut terjejas dan harapan menaiki podium dilihat semakin tipis.

“Ada beberapa atlet kini hanya menunggu senarai akhir daripada MOM sama ada mahu meneruskan penyertaan atau sebaliknya,” katanya yang masih tetap akan menyertai kejohanan lain termasuk Kanu Asia, Mac tahun depan.

Dalam pada itu, Driskell berkata, seramai 31 atlet yang berada dalam senarai ke Filipina giat menjalani latihan di Tasik Putrajaya biarpun berdepan masalah akibat jerebu sebelum ini.

“Saya mengharapkan segala persiapan berjalan lancar dan kemelut yang melanda dapat diselesaikan untuk persiapan rapi menjelang Sukan SEA nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Adam yang tersenarai sebagai wakil tunggal MASCA ke Filipina kecewa apabila dimaklumkan semua rakan sepasukannya tidak tersenarai ke temasya itu sekali gus memusnahkan usaha dibina mereka sejak beberapa tahun lalu.

Untuk rekod, sukan kayak tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan turut gagal meraih sebarang pingat dalam tiga acara pada edisi terdahulu di Singapura.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 30 Sep 2019