Ujian besar skuad wanita

HOLLOWAY Cheah
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KETUA jurulatih tenpin boling negara, Holloway Cheah meramalkan tugas sukar bakal dihadapi barisan pemain wanita apabila turun di Sukan SEA Filipina nanti.

Jelas jurulatih berpengalaman itu, terdapat peningkatan yang dipamerkan pencabar Asia Tenggara selepas kali terakhir Malaysia mendominasi dengan meraih tujuh emas di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

“Indonesia kini mempunyai seorang pemain wanita (Tannya Roumimper) yang berlatih, tinggal dan beraksi secara profesional di Amerika Syarikat (AS) selepas Sukan SEA 2017.

“Saya melihatnya di Kejohanan Dunia baru-baru ini dan dia amat bagus. Indonesia turut mempunyai tiga pemain yang bagus dalam pasukan. Jadi saya berpandangan, kita adalah sama dengan mereka,” jelasnya.

Beliau turut berpandangan tahap pemain Singapura dan Malaysia adalah sama kerana kadang kala pemain negara muncul pemenang serta sebaliknya apabila bertemu mereka.

“Saya juga tidak memandang mudah Filipina kerana faktor tuan rumah selain mempunyai dua pemain yang bagus.

“Situasi semasa boleh dikatakan (emas) berpasukan juga sukar walaupun kita adalah bertaraf dunia. Negara lain turut mempamerkan peningkatan,” menurutnya.

Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) meletakkan sasaran empat emas selepas tuan rumah mengurangkan jumlah acara dipertandingkan termasuk menggugurkan acara trio wanita yang dimenangi Malaysia dua tahun lalu.

MTBC dilaporkan meletakkan sasaran kepada acara beregu lelaki dan wanita, berpasukan wanita dan diikuti masters wanita daripada sembilan pingat yang dipertandingkan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 30 Sep 2019