Luncur ombak optimis tiga emas

MUHAMMAD Faisal Daud (tengah) bergambar selepas sidang media mengenai Team Malaysia Sukan Sea 2019 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

BERBEKALKAN pengalaman latihan dan kejohanan di luar negara, skuad luncur ombak negara optimis memiliki peluang cerah untuk meraih tiga pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019.

Pengurus pasukan, Muhammad Faisal Daud turut yakin kem disertai lima peluncur sandaran itu bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam acara yang julung kali dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan, Disember depan.

“Semua atlet kami sememangnya sudah membuat persiapan rapi sejak Julai lalu termasuk menyertai lima kejohanan berprestij di Indonesia, Thailand dan India.

“Selain menjalani sesi latihan fizikal bagi mengekalkan stamina, pengalaman dalam kejohanan yang turut disertai peluncur dari Asia Tenggara itu diharap memberi kelebihan kepada mereka untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, jurulatih, Abu Bakar Abd Manaf dan peluncur kategori shortboard, Mohd Nazrin Nasruddin.

Kata Faisal, pihaknya bagaimanapun menyedari acara sukan itu bergantung sepenuhnya kepada cuaca dan keadaan ombak selain teknik meluncur atlet.

“Namun, saya difahamkan keadaan ombak di Filipina hampir sama dengan India sekali gus diharap memberi kelebihan kepada atlet negara nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, skuad bimbingannya yang kebanyakkan berpengkalan di Cherating, Pahang masih giat menjalani latihan untuk menghadapi Sukan SEA yang berbaki hanya dua bulan.

“Sebagai persiapan akhir, semua atlet akan ke Bali untuk menjalani latihan selama tiga minggu pada pertengahan bulan ini,” katanya.

Selain Nazrin, Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) menyenaraikan peluncur lelaki, Didaqt Musaddiq dan Mohd Semmy Hasan manakala wanita diwakili Mona Rasidah Abdul Rashid dan Nur Alia Erika Mohd Azmi.

Semua atlet itu akan menggalas cabaran negara untuk menduduki podium bagi kategori shortboard dan longboard.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 30 Sep 2019