Skuad tarian optimis enam pingat

GAYA atlet sukan tarian selepas sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - FOTO Azhar Ramli
Iskandar Shah Mohamed
sukan@hmetro.com.my

BIARPUN mempertaruhkan muka baharu, skuad sukan tarian optimis mampu menjelmakan enam pingat tanpa mengira warna buat negara di Sukan SEA Filipina. 

Sasaran dianggap realistik itu bakal digalas sembilan atlet lelaki dan wanita bagi acara tarian berpasangan biasa, Latin Amerika serta breaking. 

Jurulatih kem kebangsaan, Chua Zjen Fong melaungkan keyakinan itu berikutan semua atlet turut menjalani latihan di luar negara seperti Itali, Russia dan Slovenia.  

"Walaupun menyedari Thailand dan Filipina bakal menguasai acara itu, atlet negara juga mampu bersaing dengan mempamerkan persembahan terbaik bagi meraih pingat.  

"Selain itu, kita memiliki wakil tunggal bagi tarian breaking yang cukup berpengalaman menerusi penyertaan di pelbagai kejohanan antarabangsa," katanya.  

Atlet yang membawa cabaran negara di temasya dwitahunan itu antaranya Jarell Cheong Tze Wen/ Koh Jinnee (berpasangan biasa), Tan Chee Min/ Tan Yee Chun (Latin Amerika) dan Sam Jee Lek (breaking). 

Kata Zjen Fong, skuad bimbingannya disenaraikan untuk menyertai 13 daripada 14 acara dipertandingkan. 

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Chong Kim Yee menyifatkan sukan berkenaan mempunyai masa depan cerah berikutan diminati golongan muda termasuk pelajar sekolah.  

"Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, sukan ini popular di kalangan generasi baharu sekali gus mampu melahirkan atlet pelapis negara," katanya. 

Untuk rekod, Malaysia tidak menghantar atlet bagi sukan tarian selama 12 tahun selepas kali terakhir menyertainya pada Sukan SEA Thailand 2007 dengan meraih satu gangsa. 

Pada edisi kali ini, sukan itu antara acara kegemaran yang kembali disenaraikan Filipina selaku tuan rumah selain gusti, arnis, besbol dan jujitsu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 01 Oct 2019