MASCA kecewa tindakan Adam

ADAM Aris
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

“SEPATUTNYA sebagai atlet atau pegawai, sudah menjadi kemestian untuk menjaga nama baik dan reputasi persatuan,” kata Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin yang kecewa dengan penarikan diri kapten pasukan kayak dan lumba bot tradisional, Adam Aris daripada menyertai Sukan SEA Filipina.

Menurutnya MASCA memandang serius perkara itu dan ia berlaku di luar pengetahuan badan induk ini.

“Kami juga percaya isu ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana atlet ketika tugas mereka hanya tertumpu untuk berjuang di atas ‘padang’.

“Namun, kami ingin menegaskan bahawa persatuan sukan kebangsaan adalah lebih besar daripada kepentingan individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arena Metro melaporkan persiapan skuad negara bakal terjejas apabila Adam menarik diri selepas kecewa dengan MASCA yang didakwa masih dibelenggu kemelut sekali gus membantutkan persiapan ke Filipina.

Atlet sandaran berusia 28 tahun itu mendakwa keliru dan terganggu kerana belum mengetahui pengurus sebenar pasukan selepas wujud dua penyerahan senarai daripada Megat Shahriman dan exco persatuan.

Kata Megat, pihaknya bagaimanapun menghormati keputusan itu dan mendoakan kejayaan Adam.

Ketika menjawab isu dibangkitkan atlet negara itu yang mahu Timbalan Presiden, Datuk Michael Wong sebagai pengurus pasukan, beliau berkata, pihaknya kekal dengan pendirian untuk mengikut borang penyertaan yang diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 25 September lalu.

“Isu integriti menjadi antara asas keputusan berkenaan dibuat. MASCA memilih untuk menyenaraikan Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu, Dzulkafli Abas sebagai pengurus ke Sukan SEA 2019 sambil dibantu Presiden Persatuan Kanu Negeri Perak, Raja Amran Shah Raja Musa selepas mengambil kira pengalaman luas mereka sebagai pegawai teknikal,” katanya.

Sehubungan itu, Megat berharap skuad kebangsaan kekal fokus menjalani latihan dan dapat meraih pingat emas buat kali pertama pada temasya dwitahunan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 01 Oct 2019