SEBANYAK 10 acara sukan mengalami perubahan jadual pertandingan ketika temasya Sukan SEA Filipina hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi bermula 30 November depan.
Perkembangan terbaru itu terus mencetuskan rasa kurang senang negara yang bertanding temasuk Malaysia dengan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah berharap tiada lagi perubahan di saat-saat akhir.
Senarai 10 sukan yang terbabit dengan perubahan jadual pertandingan adalah tinju, besbol, bola tampar pantai, kanu dan kayak, duathlon, lawan pedang, floorball, bola sepak wanita, sofbol dan triathlon.
"Untuk atlet mungkin tidak begitu terjejas tetapi ia memberi kesukaran kepada bahagian pengurusan yang mungkin sudah menempah tiket penerbangan.
"Selain itu ada juga 10 acara sukan belum menerima buku panduan teknikal.
Sekarang saya difahamkan pula kami perlu mendaftarkan atlet secara manual.
"Ia pasti akan memakan masa kerana seperti yang anda ketahui kita akan menghantar hampir 800 atlet.
"Bukan itu saja, kami juga perlu pastikan segala maklumat setiap atlet itu adalah tepat kerana kami tidak mahu berdepan dengan masalah di kemudian hari terutama di hari pertandingan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke atas barisan pemain badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Mengulas mengenai skuad badminton negara, Nurul Huda berharap mereka dapat memenuhi sasaran dua emas. Skuad negara meraih satu emas, lima perak dan dua gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd