Sahut cabaran Indonesia

CHOONG Hann . FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui Indonesia adalah pasukan terkuat pada temasya Sukan SEA Filipina.

Justeru, Choong Hann berkata, ia pasti akan memberi cabaran besar terutama kepada pemain perseorangan dan beregu lelaki negara.

“Sudah pasti ia akan memberi cabaran besar kepada pemain seperti Lee Zii Jia tetapi tiada yang mustahil.

“Rekod pertemuannya dengan pemain seperti Jonatan Christie memang tidak memihak kepadanya tetapi dengan perkembangan positif ketika ini, harap dia dapat melakukan kejutan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Minggu lalu Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) mengumumkan senarai terkuat yang akan beraksi di Filipina dengan Jonatan hadir untuk mempertahankan emas yang dimenangi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sementara itu Choong Hann berkata, status pemenang pingat emas KL2017 iaitu perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk beraksi di Filipina masih belum diputuskan lagi.

“Kami akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat. Ketika ini kami cuba untuk mempersiapkan dirinya pada tahap terbaik,” katanya.

Status penyertaan Jin Wei masih menjadi tanda tanya selepas pemain itu mengalami masalah berpanjangan di bahagian perut dan sudah terlepas beraksi di beberapa kejohanan utama.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 02 Oct 2019