Azroy, Sei Yan janji pingat

Azroy mahu bawa pulang pingat dari Filipina. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

ATLET angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan gimnas negara, Koi Sei Yan berazam bawa pulang pingat buat skuad kontinjen negara di Sukan SEA Filipina, November depan. 

Dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2017/2018 memberi suntikan semangat untuk melakar kejayaan dalam sukan angkat berat dan gimrama di temasya sukan itu. 

Bagi Azroy, dia mengharapkan misi meraih pingat bakal diterjemahkan di Filipina selepas merangkul pingat gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

"Di Filipina nanti, saingan utama adalah daripada atlet Vietnam kerana dia pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik selain saingan atlet Indonesia. 

"Tapi, saya akan berusaha untuk meraih pingat tanpa mengira warna untuk mengecap pencapaian peribadi di Sukan SEA nanti," kata atlet kelahiran Rompin, Pahang itu. 

Gimnas negara, Sei Yan pula mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu. 

"Setakat ini, saya menjalani latihan insentif untuk memastikan pencapaian di Kuala Lumpur mampu diteruskan di Filipina. 

"Anugerah yang dimenangi ini memberi motivasi untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas ini," kata atlet berumur 20 tahun itu. 

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Azroy memenangi pingat gangsa kategori 56 kilogram (kg) manakala Sei Yan pula meraih empat emas dan dua perak dalam acara gelung, belantan, bola dan riben.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 03 Oct 2019