Atlet ping pong diserap semula

Karen Lyne dan Ho Ying bersama Leong Chee Feng (dua dari kanan) mengenai isu digugurkan daripada program Podium Sukan SEA pada sidang media baru-baru ini. FOTO File NSTP
BERNAMA

ISU pengguguran dua pemain ping pong Program Podium daripada senarai ke Sukan SEA Filipina selesai selepas dua pemain itu kembali diserap ke dalam senarai kontinjen negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu telah dicapai semalam, selepas beberapa siri pertemuan berlangsung antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

"Dua pemain itu akan diserap semula ke dalam pasukan ping pong ke Sukan SEA dan pada masa yang sama kita hendak pastikan bahawa hubungan antara semua pihak ini sentiasa rapat.

"Akhirnya, isu ini telah selesai dan kita hendak pastikan apabila ia telah selesai, ia tidak akan berulang lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dan LPM Support Malaysia.

Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sebelum ini menggugurkan dua pemain - Ho Ying dan Karen Lyne, daripada senarai ke Sukan SEA Filipina 2019 kerana kedua-dua pemain berkenaan memilih untuk keluar dari program pembangunan TTAM itu.

Menurut Naib Presiden TTAM Dr Chin Kuen Liang, pengguguran itu susulan keputusan kedua-dua pemain itu untuk menandatangani perjanjian dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 22 Ogos bagi menjalani latihan dengan bekas pemain antarabangsa Beh Lee Wei, selepas menandatangani surat terima, yang bertarikh 13 Ogos untuk menjalani latihan berpusat anjuran TTAM di bawah jurulatih dari China, Mu Tong.

Sementara itu, mengenai kolaborasi antara ISN dan syarikat pengeluar alat sokongan/perlindungan sukan LPM Support Malaysia, Syed Saddiq berharap jalinan seperti ini dapat menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk turut serta dalam menjana industri sukan negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 03 Oct 2019