PENGALAMAN latihan lebih 10 tahun termasuk secara dalam talian menjadi bekalan lengkap skuad catur kebangsaan untuk menjelmakan empat pingat pada Sukan SEA Filipina.
Sasaran dianggap realistik itu akan digalas empat atlet termasuk pemain nombor satu negara, Yeoh Li Tian yang berpotensi meraih emas pada temasya dwitahunan itu.
Pengurus pasukan, Muhammad Firdaus Ismail berkata, kem sukan strategi minda itu giat menjalani latihan intensif di pusat catur yang baru dibina di Putrajaya dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (MCF).
“Sesi latihan di pusat itu digunakan tiga atlet termasuk menerusi platform dalam talian selain menghantar mereka menyertai kejohanan dalam dan luar negara.
“Manakala Li Tian yang sedang melanjutkan pengajian di Kolej Imperial London mempersiapkan diri dengan menjalani latihan sepenuhnya dengan kami secara dalam talian,” katanya.
Selain Li Tian, 20, yang akan menjadi Grandmaster pertama Malaysia, cabaran negara disertai pasangan adik beradik, Nur Nabila dan Nur Najiha Azman Hisham serta Tan Li Ting.
Skuad catur negara kali terakhir meraih gangsa pada Sukan SEA Indonesia 2011 dan Myanmar 2013 namun sukan itu tidak dipertandingkan pada dua temasya berikutnya.
Di Filipina kali ini, lima pingat emas menjadi rebutan termasuk kategori catur Asean iaitu kombinasi catur tradisional Thailand, Myanmar dan Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd