Atlet olahraga uji prestasi di India

HAIQAL turut bertanding di India.
Iskandar Shah Mohamed
sukan@hmetro.com.my

KEJOHANAN Terbuka India bermula Khamis ini menjadi medan terbaik buat 15 atlet olahraga kebangsaan menguji prestasi sebelum mempersiapkan diri ke Sukan SEA Filipina.

Antara disenaraikan adalah jagut pecut negara, Jonathan Nyepa bersama Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi bagi acara 100 meter (m).

Turut tersenarai, Olimpian Zaidatul Husniah Zulkifli yang bakal beraksi dalam acara 100m wanita, selain barisan kuartet 4x100m wanita dan 4x400m lelaki.

Bagi acara 800m, cabaran akan digalas Putra Azrul Syazwan Azman dan Savinder Kaur (wanita).

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, kejohanan itu turut dijadikan antara penilaian akhir bagi semua atlet berkenaan sebelum ke temasya dwitahunan di Manila, bulan depan.

"Kem olahraga ketika ini sememangnya berdepan jadual padat dengan penyertaan beberapa kejohanan termasuk Terbuka India sebagai persiapan lengkap ke Sukan SEA.

"Saya bersama barisan kejurulatihan sentiasa memantau prestasi atlet dan akan membuat penilaian menyeluruh bagi setiap kejohanan disertai mereka," katanya kepada Arena Metro. Kata Mohd Manshahar, beliau yang turut menyertai barisan atlet dan jurulatih dijadualkan bertolak ke India awal pagi esok.

Kejohanan edisi ke-59 anjuran Persekutuan Olahraga India (AFI) itu dijadualkan berlangsung di Ranchi, Jharkhand selama empat hari sehingga Ahad ini.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini kekal optimis menyasarkan kutipan lima pingat emas buat kontinjen negara di Filipina nanti.

Untuk rekod, pada edisi di Kuala Lumpur 2017, kem olahraga memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 07 Oct 2019