Semua persatuan lunas deposit Sukan SEA

Norza (tengah) bersama Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Nazifuddin Najib (kiri). FOTO OWEE AH CHUN.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

ISU berkaitan penyertaan atlet kategori B dianggap selesai selepas semua persatuan sukan kebangsaan sudah melunaskan bayaran deposit 50 peratus daripada kos keseluruhan ke Sukan SEA Filipina.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menghargai komitmen tinggi persatuan yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membawa cabaran negara di temasya sukan dwitahunan itu.

"Keadaan itu jelas menunjukkan bahawa semua persatuan amat serius untuk menghantar atlet mereka bukan hanya sebagai pendedahan menyertai pertandingan malah membuktikan keberkesanan program masing-masing.

"Saya berharap komitmen seumpama ini dapat diteruskan dengan pencapaian mereka meraih pingat buat kontinjen negara di Filipina nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif MOM untuk 2018-2021 di Wisma OCM di Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 10 persatuan diberikan tempoh hingga hujung bulan lalu untuk membayar deposit itu bagi mengelak nama atlet mereka digugurkan.

Dalam pada itu, Mohamad Norza turut menjelaskan faktor penyertaan terbesar yang pernah dihantar negara di luar Kuala Lumpur selepas Sukan SEA Korat 2007.

"Kebiasaannya, hanya 30 hingga 40 acara dipertandingkan namun edisi kali ini menawarkan 56 acara untuk disertai termasuk sukan baharu seperti hoki dalam air, sambo, kurash dan tarian.

"Kita akan menyertai 52 daripada acara itu dan bukan mahu meletakkan kepada prestasi semata-mata namun lebih kepada memperkenalkan atlet muda dan mengembangkan sukan yang memerlukan pendedahan," katanya memaklumkan Malaysia menyenaraikan 786 atlet dan 277 pegawai (1,063 orang) ke Filipina.

Ketika ditanya mengenai senarai penuh akhir atlet ke temasya itu, beliau berkata, tarikh tutup penyertaan atlet yang sepatutnya ditutup semalam dilanjutkan sehingga 17 Oktober ini sebelum diumumkan secara rasmi kelak.

"Bagi kami, ia tidak menjadi masalah kerana segala persiapan terutama logistik kontinjen negara berjalan dengan lancar setakat ini.

"Sasaran pingat juga akan dimuktamad dan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bulan depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 08 Oct 2019