MTBC rahsia skuad ke Filipina

Megat Zulkarnain (tiga dari kiri) bersama skuad bowling negara di Sunway Megalanes. FOTO HAIRUL NIZAM WAHID
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my

PENDEKATAN Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yang merahsiakan senarai skuad ke Sukan SEA Filipina mungkin membuatkan peminat sukan itu berteka-teki namun strategi itu tidak sukar ‘dihadam’ Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Sehingga kini, MTBC masih merahsiakan senarai atlet yang bakal mewakili negara ketika temasya sukan dwitahunan itu berbaki kira-kira 50 hari lagi, sebaliknya memberi tumpuan terhadap Piala Dunia AMF Qubica dan Kejohanan Asia yang berlangsung sebelum itu.

“Saya dapat penjelasan daripada pengurus pasukan, mengapa strategi ini mereka gunakan dan kami bertiga (bersama dua Timbalan CDM) berpuas hati dengan penjelasan mereka,” katanya ketika meninjau latihan skuad boling di Sunway Megalanes, hari ini.

“Ada beberapa perkara yang mesti mereka fikirkan dan saya fikir ini adalah strategi mereka. Mereka ingin menamakan atlet mereka paling lewat sebulan sebelum Sukan SEA dan mereka mempunyai asas yang kukuh supaya dapat mengkaji kekuatan lawan dan pemain boling dapat meningkatkan prestasi mereka.”

Hadir sama, kedua-dua timbalan beliau Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah.

Malah beliau yakin skuad kendalian Holloway Cheah itu mampu menyerap tekanan untuk mempamerkan aksi terbaik di Sukan SEA, berdasarkan pencapaian hebat mereka sebelum ini.

“Ketika Sukan Asia lalu, pingat emas pertama juga datang dari boling. Bukan kita nak beri tekanan kepada pemain tetapi mereka dah biasa dengan keadaan seperti itu, mereka berada di tahap yang lebih tinggi daripada itu,” kata Megat Zulkarnain.

“Saya yakin sembilan acara yang bakal mereka sertai akan meletakkan mereka di podium. Apa warnanya, biarlah masa yang menentukan. Mereka tenang, menerimanya dengan terbuka dan menganggap ia satu penghormatan.”

Dalam perkembangan lain, Megat Zulkarnain berkata tarikh penghantaran nama atlet dilanjutkan sehingga 17 Oktober ini, biarpun ia sepatutnya berakhir semalam dengan 1,063 atlet, pengurus dan jurulatih sudah didaftarkan setakat ini, kecuali pasukan sokongan dari Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara dan sekretariat.

“Walaupun kita sudah masukkan semalam kerana semalam adalah hari terakhir, kita masih ada masa 10 hari lagi jika perlu membuat sebarang penamaan baru,” katanya.

“Saya juga bersyukur Persatuan Ping Pong Malaysia sudah menamakan kembali dua atlet kategori A mereka dan ia petanda positif. Terima kasih kepada persatuan sukan kerana memahami aspirasi dan mengetepikan sebarang permasalahan demi kepentingan negara.”

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 08 Oct 2019