DI sebalik masalah dalaman dihadapi, pasukan jujitsu mendapat 'nyawa kedua' untuk bertanding di Sukan SEA 2019 di Filipina.
Pengurus pasukan, Sharizal Md Sidek berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas kepercayaan dan peluang diberikan kepada mereka untuk menghantar empat atlet buat julung kalinya ke temasya dwi tahun itu.
Katanya, biarpun baru mendapat 'lampu hijau', persiapan empat atlet iaitu Adam Akasyah bagi kategori 69 kilogram (kg), Damon Soo Yan Wei (62 kg), Cassandara J Poyong (55 kg) dan Lee Ai Jin (45 kg) berjalan lancar.
"Kami menyasarkan pingat bagi setiap kategori dan semua atlet sedang giat berlatih di bawah bimbingan jurulatih, Bruninho Cardo Barbosa bagi merealisasikannya. Latihan dijalankan di dua gimnasium di Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar," katanya pada lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah di ISN, di sini, hari ini.
Sebelum ini, MOM bertindak drastik menolak permohonan dua sukan termasuk jujitsu untuk menyertai Sukan SEA Filipina kerana tidak memiliki struktur program tersusun dari peringkat akar umbi hingga ke skuad kebangsaan.
Mengulas lanjut, Shahrizal berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti hampir 80 peratus atlet pesaing dari Singapura, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Vietnam yang dijangka bertanding pada Sukan SEA kali ini.
Katanya, biarpun dianggap 'underdog' atlet negara berpengalaman bertanding dan memenangi pingat di kejohanan jujitsu peringkat antarabangsa.
"Adam misalnya memenangi emas dalam Kejohanan Jiu Jitsu Terbuka Musim Sejuk London 2018 IBJJF, Damon (Kejohanan Antarabangsa Dumau Saigon, ASJJF) dan Cassandra (Kejohanan Dunia Jujitsu Abu Dhabi). Lee pula meraih gangsa di Kejohanan Dunia Jujitsu di Amerika Syarikat.
“Sebagai atlet pertama jujitsu, tekanan memang ada, tapi kami yakin sudah bersedia," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd