Mat Redho gigih demi Sukan SEA

MAT Redho
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

STATUS sebagai juara Liga Cabaran Ninja bukan jaminan mudah untuk merangkul pingat emas di Sukan SEA.

Bagi atlet sukan tempuh halangan berkelas dunia, Mohd Redha Rozlan,31, cabaran besar menanti di temasya dwitahunan itu terutama saingan daripada atlet tuan rumah.

Justeru, dia yang lebih dikenali sebagai Mat Redho kini giat berlatih bersama rakan sepasukan, Mohd Saddam Mohd Pittli yang juga jaguh perlumbaan 'spartan'.

"Walaupun pernah menyertai kejohanan dunia, Sukan SEA ini berbeza. Saya tidak menjanjikan pingat emas tapi akan berusaha untuk mendapatkan pingat.

"Ketika ini saya menjalani latihan setiap hari bersama Mohd Saddam bagi memperkuatkan lagi bahagian pinggang dan kaki.

"Diikutkan setiap minggu ada pertandingan termasuk di Kuala Lumpur dan Langkawi yang juga menjadi sebahagian latihan," katanya yang merangkul emas dalam Ninja Fest 2019 di Singapura minggu lalu.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah di Institut Sukan Negara (ISN), di sini.

Mengulas lokasi pertandingan, Mohd Redha berkata, dia difahamkan sukan itu akan diadakan di Manila. "Bentuk halangan yang akan digunakan juga sudah diketahui dan saya berlatih mengikutnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Redha berkata, dia akan ke Australia pada akhir bulan ini bagi mempertahankan kejuaraan Liga Cabaran Ninja (NCL) yang dimenangi tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 09 Oct 2019