'Manfaatkan latihan tiga minggu'

KIM Swee bersama Subahan (kanan) pada sidang media team Malaysia ke Sukan SEA. FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mahu memanfaatkan sebaik mungkin tempoh tiga minggu untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi Sukan SEA Filipina.

Persiapan akhir itu merangkumi sesi latihan intensif biarpun tanpa disertai beberapa pemain yang masih menggalas cabaran negara di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Kim Swee berkata, persiapan skuad bimbingannya hanya akan bermula pada 4 November depan selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia.

"Semua pemain yang disenaraikan bagi B-23 akan melaporkan diri pada tarikh itu dan kita mempunyai masa tiga minggu untuk berlatih sebelum menyertai temasya dwitahunan berkenaan.

"Sama ada cukup atau tidak tempoh itu, saya percaya pasukan lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand juga mempunyai ramai pemain yang terbabit dengan pasukan kebangsaan mereka.

"Positifnya, mereka yang tidak bersama skuad B-23 itu akan berlatih secara kompetitif dan bermain dalam peringkat lebih tinggi. Jadi, saya menganggap isu mengenainya tidak timbul," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, senarai penuh pemain akan diumumkan beliau selepas 19 November depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 09 Oct 2019