Saya belum puas - Vivian

Vivian turun bersama gandingan baru di Filipina. FOTO fail NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

PINGAT emas, perak serta gangsa Sukan SEA sudah berada dalam genggaman pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo namun dia masih lagi belum berasa puas dan cuba untuk mencari pingat terakhir di Manila nanti.

Menurut Vivian, Sukan SEA kali ini dia berasa sedikit berbeza kerana kali pertama bergandingan bersama Yap Cheng Wen.

“Keempat-empat edisi sebelum ini saya bergandingan bersama Woon Khe Wei dan kali ini saya perlu memberi tunjuk ajar buat Cheng Wen dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bukan saja akan membantu Cheng Wen tapi bersedia membuatkan pasangannya itu berasa gembira di temasya dwi tahunan itu.

“Saya rasa setiap kali diturunkan saya akan berasa lain. Memang teruja dan bukannya bosan sebab sudah kali beraksi di Sukan SEA. Saya akan sentiasa menghargai setiap peluang diberikan,” katanya.

Ditanya mengenai tentangan sengit pasangan Indonesia dan Thailand, Vivian mengakui wakil dari negara berkenaan sentiasa konsisten termasuk ketika zaman dia bergandingan bersama Khe Wei.

“Aksi konsisten mereka membuatkan kita kelihatan kurang bagus berbanding mereka. Mereka sering menjadi lawan yang sangat sukar buat kami.

“Kalau mahu menang kami sekurang-kurangnya harus melakukan kejutan ke atas satu atau dua pasangan dari negara berkenaan.

Memang saya mahu menang lagi kerana saya tidak pernah berasa puas,” katanya.

Vivian meraih emas di Sukan SEA Myanmar 2013 ketika bergandingan bersama Khe Wei dan dua tahun selepas itu mereka memenangi perak di Singapura.

Dua tahun lalu mereka meraih gangsa ketika Sukan SEA diadakan di Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 11 Oct 2019