'Usain Bolt Malaysia' mahu jadi guru

Azeem mahu menjadi seorang pendidik. FOTO NSTP
BERNAMA

KEJAYAAN dalam bidang sukan dicapai seawal usia 15 tahun tidak sedikit pun membuat Muhammad Azeem Mohd Fahmi alpa untuk cemerlang dalam akademik demi mencapai cita-cita menjadi seorang pendidik.

Mendapat jolokan ‘Usain Bolt’ Malaysia, Muhammad Azeem yang baru selesai menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berkata, dia mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mencapai cita-citanya menjadi guru bahasa Melayu.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh selain sukan, akademik juga sama penting untuk masa hadapannya.

“Sekiranya tidak menceburi bidang sukan saya mahu menjadi guru bahasa Melayu dan sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan ada menawarkan untuk menghantar saya melanjutkan pelajaran ke luar negara sekiranya keputusan saya bagus,” katanya, baru-baru ini.

Ditanya mengenai perancangannya selepas PT3, Muhammad Azeem berkata beliau akan meneruskan latihan di bawah bimbingan Mohd Hazuan Zainal Abidin serta Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah dan akan menyertai Olahraga Terbuka Innotex di Bukit Jalil bulan hadapan.

Menjelas lanjut, Muhammad Azeem berkata beliau mahu terus memperbaiki diri sebelum menyertai sebarang sukan besar di peringkat antarabangsa termasuk Sukan SEA Filipina 2019 hujung tahun ini walaupun sudah layak secara merit acara 200 meter.

Pelari muda negara kelahiran Perak itu berkata beliau tidak mahu kejayaan yang dicapai di peringkat antarabangsa sekadar menjadi kejayaan sementara jika dilakukan tanpa persediaan rapi.

“Terlampau banyak pertandingan saya masuk tahun ini kalau saya sertai Sukan SEA di Filipina pun saya rasa prestasi saya belum cukup bagus sama ada dari segi mental atau fizikal.

“InsyaAllah kalau tiada halangan dan sekiranya saya layak untuk kejohanan atau pertandingan (lain) seterusnya saya akan sertai,” kata anak keempat daripada lima adik beradik itu.

Menjadikan pelari pecut Kanada, Andre de Grasse sebagai idola, Muhammad Azeem menasihati golongan muda yang meminati sebarang acara sukan agar berusaha untuk melakukan yang terbaik dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan soal pendidikan.

Pada Ogos lalu, Muhammaz Azeem merakam 21.15 saat untuk meraih emas bagi acara 200 meter (m) Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khong Kaen, Thailand sekali gus memperbaharui rekod peribadi miliknya sebelum ini, 21.24 saat yang dicipta dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor pada April.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 11 Oct 2019