Gimnas negara terima 'suntikan' Cosway

ALICE (kiri) dan Rachel bersama dokumen kerjasama antara Cosway dan MGF pada sidang media di Menara Cosway, Bukit Bintang. - FOTO Salhani Ibrahim
Iskandar Shah Mohamed

sukan@hmetro.com.my

SYARIKAT jualan langsung, Cosway (M) Sdn Bhd komited membantu atlet gimnastik kebangsaan dengan menyalurkan penajaan lebih RM1 juta untuk pembangunan sukan itu.

Kerjasama selama tiga tahun itu dimeterai dengan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) merangkumi tajaan wang tunai, uniform, kosmetik dan peralatan sukan kepada gimnas negara. Ketua Pegawai Eksekutif Cosway, Dr Alice Lee berkata, pihaknya julung kali menjalin kerjasama dengan sebuah badan sukan dan MGF dipilih kerana menepati kriteria terutama berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia.

"Sukan gimnastik antara contoh terbaik dalam mempromosikan gaya hidup sihat, berdisplin dan memberi kesan positif kepada golongan belia.

"Menerusi budaya itu dan penampilan diri yang menarik, saya yakin gimnas negara juga akan memperoleh manfaat sekali gus menyumbang kepada kejayaan mereka," katanya pada sidang media di Wisma Cosway di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MGF, Rachel Lau. Kata Alice, pihaknya turut mahu menjadikan ratu gimnas kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai contoh terbaik kempen syarikat itu.

"Selain sejajar dengan usaha penjenamaan semula syarikat yang berusia 40 tahun, kejayaan Farah itu menjadi contoh kepada demografi muda terutama berkaitan disiplin diri dan gaya hidup sihat," katanya.

Sementara itu, Rachel berkata, MGF berbesar hati memeterai kerjasama berkenaan yang dianggap memberi suntikan semangat baharu kepada atlet.

"Kami amat menghargai penajaan anak syarikat Kumpulan Berjaya itu yang dikenali dengan pelbagai produk berkualiti tinggi termasuk kesihatan sejak sekian lama. Ia diharap menyuntik lagi semangat atlet untuk terus mencipta kejayaan di semua kejohanan termasuk Sukan SEA Filipina dan Olimpik Tokyo," katanya yang mengharapkan lebih banyak syarikat korporat tampil menaja persatuan sukan tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Jumaat, 11 Oct 2019