Skuad floorball bentuk keserasian

MOHD Hafidz (dua dari kiri) dan pengurus pasukan floorball wanita, Nur Farah Mustapha (dua dari kanan) bergambar bersama atlet floorball pada sidang media di MSN, Bukit Jalil. - FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed
sukan@hmetro.com.my

PELUANG menjalani latihan mingguan secara berpasukan mahu dimanfaatkan kem floorball negara sebagai bekalan meraih pingat di Sukan SEA Filipina.

Pengurus pasukan kebangsaan, Mohd Hafidz Zainal Abidin berkata, sesi latihan skuad bimbingannya sebelum ini hanya dijalankan sebulan sekali berikutan faktor pemain berada di seluruh negara termasuk Sabah.

"Pada Sukan SEA terdahulu, memang diakui sukar untuk mengumpulkan semua pemain kerana kekangan logistik terutama lokasi latihan dan penginapan. Namun, masalah itu kini selesai dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) sekali gus membolehkan mereka menjalani latihan berpasukan setiap minggu untuk membentuk lebih keserasian dan persefahaman," katanya.

Cabaran acara floorball akan digalas pasukan lelaki dan wanita yang merangkumi seramai 40 pemain iaitu antara kontinjen terbesar negara ke Filipina. Kata Mohd Hafidz, pihaknya optimis mampu meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa biarpun bakal berdepan saingan sengit terutama pasukan Singapura.

"Ini penyertaan Sukan SEA ketiga dan kami pernah meraih pingat dalam temasya di Myanmar serta Singapura sebelum ini. Selain latihan, pendedahan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa menjadi bekalan untuk merealisasikan sasaran meraih pingat nanti," katanya. Ditanya mengenai skuad Filipina dan Thailand disertai pemain kacukan yang berpangkalan di luar negara, beliau menganggap ia mungkin menjejaskan peluang pingat namun pasukannya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencipta kemenangan.

Untuk rekod, skuad negara meraih perak pada Sukan SEA Myanmar 2013 dan gangsa ketika edisi Singapura 2015.

Acara sukan yang mirip hoki ais itu bagaimanapun tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 11 Oct 2019