Misi penting Yusof

MOHD Yusof (kanan) menyuntik semangat pelumba yang membawa cabaran di ToP 2019. FOTO arkib NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

JURULATIH skuad berbasikal negara, Mohd Yusof Nasir mempunyai beberapa misi penting apabila menyertai Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang bermula, esok.

Jelas Yusof, ToP akan menjadi medan kepadanya untuk menilai prestasi semasa pelumba negara yang bakal menggalas cabaran ke Sukan SEA Filipina kelak.

“Ada yang berlumba bersama skuad kebangsaan, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC). Jadi saya mahu melihat kemampuan terkini mereka.

“Saya turut mengintai peluang melihat aksi pencabar dari Asia Tenggara yang hadir di ToP 2019. Kita mahu lihat tahap persembahan pelumba negara dengan mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun Yusof mengakui tetap memburu keputusan terbaik untuk skuad negara pada kejohanan berstatus 2.1 itu.

“Jika mempunyai peluang untuk mencapai kemenangan atau sebagainya sudah pasti kita akan mencuba dan tidak melepaskannya walaupun pada masa sama berwaspada terhadap sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluang di Sukan SEA,” katanya.

Skuad negara diketuai pelumba berpengalaman Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Nik Mohd Azwan Zulkifle, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, Amer Mohd Kamal, Amen Mohd Kamal dan Muhammad Daniel Haikal Edy Suhaidee.

Sementara itu, pakar pecut TSG, Mohd Harrif Saleh mengintai peluang untuk meraih kemenangan peringkat di kejohanan itu.

Jelas pelumba berusia 31 tahun itu, dia berharap mampu mencapainya dalam dua peringkat awal yang berlangsung di negeri kelahirannya, Terengganu.

“Sudah pasti saya mengharapkan mampu meraih kemenangan terutama di tempat sendiri. Laluan yang landai, sesuai dengan saya.

“Seingat saya, sepanjang bergelar pelumba profesional saya tidak pernah meraih kemenangan di tempat sendiri dalam perlumbaan di Jelajah Asia. Jadi saya mahukan sesuatu pada edisi sulung ToP ini,” katanya.

Pada masa sama, Harrif turut meletakkan sasaran untuk meraih jersi kategori pecut.

“Ia sesuatu yang diidamkan semua pelumba pecut. Saya akan berusaha keras mendapatkannya,” katanya.

Dua peringkat awal ToP 2019 akan bermula di Terengganu membabitkan saingan dari Dungun ke Kuala Terengganu (180.6km) diikuti Kuala Terengganu ke Chukai (157.4km).

Perlumbaan akan diteruskan ke Pahang menyusuri Kuantan, Karak serta pendakian ke Cameron Highlands sebelum berakhir pada 19 Oktober di Setiawangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 14 Oct 2019