Qi Xuan ganti tempat Jin Wei

Norza (kiri) melihat keadaan Jin Wei di hospital.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

BIARPUN tanpa khidmat pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, skuad negara diyakini mampu memberi tentangan dalam saingan berpasukan Sukan SEA Filipina 2019.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, fokus utama mereka adalah menumpukan satu perlawanan demi perlawanan terlebih dulu.

“Bagi saingan berpasukan lelaki tidak ada perkara yang mudah. Memang kita ada kelebihan di bahagian tertentu namun kita masih ada tugas untuk mencapai matlamat ke akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam saingan berpasukan wanita, Eoon Qi Xuan sah akan menggantikan tempat Jin Wei yang baru saja selesai menjalani pembedahan usus.

“Kami harus bersiap sedia pada tahap terbaik untuk mengatasi Thailand. Ia memang tugas mencabar namun pada masa sekarang kita juga mahu melihat peningkatan terutama membabitkan pemain muda,” katanya.

Dalam undian Sukan SEA hari ini skuad lelaki akan menentang Filipina, manakala pasukan wanita pula bakal berdepan Kemboja.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sempat melawat Jin Wei di hospital selepas juara remaja dunia 2015 dan 2018 itu selesai menjalani pembedahan semalam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 15 Oct 2019