Gandingan cilik buru emas sulung

Atlet judo negara dari kiri - Kei Yi, Siti Nur Aisyah, Tan Woon Kiat dan Muhammad Ruzaini Abdul Razak. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

KECIL-kecil cili padi, biarpun kecil tetapi berani. Itu gambaran buat gandingan negara, Tan Kei Yi dan Siti Nur Aisyah Che Adzmi yang akan membuat penampilan sulung di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember ini.

Biarpun pertama kali di pentas Sukan SEA, pasangan cilik negara itu berani menetapkan sasaran untuk meraih pingat emas dalam kategori Junokata walaupun sedar bakal berdepan saingan sengit daripada negara bertanding.

Kei Yi, 20, berharap latihan yang dijalani sepanjang tahun ini cukup untuk membantu mereka meningkatkan pungutan mata ketika di gelanggang pertandingan nanti.

“Kami yakin boleh meraih pingat emas jika beraksi bersungguh-sungguh. Kami ingin buktikan bahawa ‘gadis kecil’ ini mampu untuk membanggakan negara dalam acara judo,” katanya selepas sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Siti Aisyah, 19, pula berkata walaupun ini adalah pengalaman pertama mewakili negara ke Sukan SEA, harapannya untuk membawa pulang pingat emas itu tinggi kerana banyak pengorbanan telah dilakukan.

“Saya baru menamatkan pengajian peringkat A-Level pada Mei lalu dan sepatutnya melanjutkan pengajian di United Kingdom bulan lalu. Oleh kerana Sukan SEA, saya terpaksa menangguhkan dan Kei Yei pula sudah bekerja dan mengalami kecederaan sebelum ini.

Kei Yi dan Siti Aisyah digandingkan sejak 2017 dan meraih pingat emas ketika mewakili Pulau Pinang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Sementara itu, ketua jurulatih judo negara, Marjan Abdullah berkata, saingan dalam acara itu agak sengit pada edisi kali kerana kebanyakan negara bertanding menggunakan khidmat atlet naturalisasi berbanding Malaysia yang menggunakan atlet tempatan.

“Negara yang memberi saingan kuat untuk acara judo kali ini adalah Indonesia, Thailand dan Filipina kerana mereka mengamalkan tradisi mengimport warga negara lain. Contohnya Filipina mengimport kesemua pemain dari Jepun untuk mewakili negaranya.

“Bagaimanapun, kami menyasarkan pingat emas untuk acara Judo (Junokata) dan pingat untuk acara ‘Fighter’. Kita berjaya meraih satu perak dan satu gangsa pada satu kejohanan di Bangkok. Jadi peluang untuk dapat emas di Sukan SEA kali ini lebih cerah,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017, skuad judo negara sekadar berpuas hati dengan pingat perak menerusi Chong Wei Fu manakala pada kejohanan sama di Singapura 2015, kontinjen negara hanya pulang dengan lima pingat gangsa.

Kali pertama dan terakhir skuad judo negara meraih kilauan emas dalam temasya dwitahunan itu pada 1981 dengan satu emas di Manila.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 16 Oct 2019