Boleh jejas peluang

SAFAWI mahu rakan fokus hadapi kejohanan Sukan SEA. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Ketika tuah undian acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 dilihat memihak skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, faktor padang tiruan boleh menggagalkan usaha meraih ibu segala pingat pada temasya dwitahunan yang akan berlangsung di Filipina penghujung bulan depan.

Menerusi undian yang dijalankan kelmarin, anak buah Datuk Ong Kim Swee berdepan laluan mudah apabila diundi bertemu Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste dalam Kumpulan A.

Ia sekali gus mengelak ‘laluan maut’ dalam Kumpulan B dibarisi juara edisi lalu, Thailand yang bakal dicabar tiga jaguh serantau iaitu Vietnam, Indonesia, Singapura, selain Brunei dan Laos.

Berdasarkan undian itu, peluang skuad negara ke peringkat separuh akhir sangat cerah, namun permukaan padang di Stadium Memorial Rizal di Manila yang menggunakan padang sintetik atau tiruan untuk acara bola sepak boleh menjejaskan peluang jika tidak berhati-hati.

Penyerang skuad negara, Safawi Rasid yang bakal memperkuatkan pasukan di temasya itu berkata, teknik permainan di atas rumput asli dan tiruan jauh berbeza di mana pemain perlu memberi sepenuh perhatian terhadap kelajuan dan lantunan bola.

Malah, katanya, pemain juga mudah mengalami kecederaan di atas padang tiruan yang sedikit keras berbanding rumput asli.

“Saya dah tengok (keputusan undian) dan rasanya kumpulan kita bukan mudah. Filipina bagi saya kuat sebab mereka akan beraksi sebagai tuan rumah ditambah padang sana pula sintetik, jadi ia bukan senang.

“Bagi saya dekat Malaysia pun banyak padang sintetik. Cuma ada sedikit perbezaan dari segi kelajuan bola yang kita kena fokus.

“Atas padang seperti itu kita kena fokus dari segi membuat hantaran sebab padang sintetik ini ramai yang tahu bukan mudah nak bermain. Sebab ia bukan rumput yang asal dan ia dibuat daripada sintetik,” kata pemain Johor Darul Ta’zim itu ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada saingan di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Thailand meraih pingat emas selepas menang 1-0 ke atas pasukan negara di perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Lantas, Safawi mahu menebus kedukaan dua tahun lalu di Manila, sekali gus sebagai hadiah sebelum dia mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Sukan SEA itu.

“Bagi saya secara individu, ini adalah pentas terakhir (Sukan SEA) untuk saya main sebab tahun depan umur dah lebih 23 tahun. Kalau boleh saya nak masuk final macam 2017. Saya tahu ramai pemain yang tahun ini dah 22 tahun, jadi perasaan masing-masing bersemangat untuk dapatkan sesuatu sebab ini Sukan SEA terakhir.

“Semangat pasukan memang membara lebih-lebih yang sebaya saya untuk kami cuba dapatkan pingat buat negara nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 17 Oct 2019