'Tak boleh rehat lama sangat...'

DHAARMA panggil empat daripada enam pemain yang baru pulang dari Jerman untuk perkasa skuad Sukan SEA.
Saiful Affendy Sapran
sukan@hmetro.com.my

Tiada tempoh rehat bagi empat daripada enam pemain yang sudah dan bakal menamatkan aksi di Liga Hoki Jerman apabila mereka akan segera dipanggil menyertai kem latihan skuad hoki dalam dewan wanita negara untuk persiapan ke Sukan SEA Filipina.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika mengesahkan perkara itu berkata, pemain pertama dijangka akan menyertai pasukannya bermula hari ini adalah Juliani Mohd Din.

“Dua lagi pemain sudah pulang bersama Juliani iaitu Maizatulhanim (Syafi) dan Nuramirah Syakirah (Zulkifli) dilihat tidak sesuai untuk bermain hoki dalam dewan.

“Selepas itu saya akan menunggu kepulangan tiga lagi pemain dari Jerman iaitu Wan Norfaiezah (Saiuti) dan Raja Norsharina (Raja Shabuddin) yang akan menyertai Juliani pada minggu depan,” katanya.

Maizatulhanim, Nuramirah Syakirah dan Juliani sudah menamatkan tugas beraksi bersama Bremer HC di Divisyen Kedua sejak Ogos lalu. Manakala Hanis, Wan Norfaiezah dan Raja Norsharina pula beraksi di saingan Bundesliga bersama kelab Wespen Zehlendorfer dan akan pulang minggu depan.

Dhaarma yang sebelum ini menggalas tugas ketua jurulatih hoki padang wanita sebelum menggantikan Yahya Atan untuk skuad hoki dalam dewan berkata, beliau akan memberi peluang kepada semua pemain menyertai sesi latihannya.

“Saya perlu bersikap adil sebelum memilih 12 pemain terbaik ke Sukan SEA. Sebab itu saya membuka peluang kepada semua pemain daripada skuad hoki padang untuk menyertai sesi latihan ini,” katanya yang menggalas tanggungjawab berat untuk memastikan skuad negara memenangi pingat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 17 Oct 2019