Is Qian mahu jadi macam Chong Wei [METROTV]

Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my

“Impian saya mahu menjadi juara dunia badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan juga mendapat emas sukan Olimpik,” kata Kee Is Qian, 12, bakat muda yang dicungkil melalui Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Hwa Min, Jitra, Kedah itu yang juga juara kategori beregu lelaki 11 tahun kejohanan PPBB KPM-PERODUA 2018 nekad memburu kejuaraan kategori perseorangan lelaki 12 tahun dalam kejohanan sama tahun ini.

Juara kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 kategori perseorangan lelaki itu mula meminati sukan badminton sejak berusia sembilan tahun selepas melihat kejayaan idolanya Chong Wei.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi juara kejohanan kali ini dan ternyata saingan lebih hebat dengan setiap pasukan menghantar pemain terhebat mereka,” katanya yang berasakan peserta Sabah antara saingan terhebatnya.

Ibunya, Teow Lee Lee, 36, berkata, dia dan suami sangat menggalakkan Is Qian meneruskan minat dalam sukan badminton dan akan memberi segala sokongan diperlukan.

“Program PPBB KPM-PERODUA ini memang sangat bagus, anak saya sebagai contoh kerana dia kini sangat berdisplin termasuk menjalani latihan setiap hari. Program ini juga membolehkan bakat anak-anak dikesan dari peringkat awal lagi agar dapat digilap untuk menjadi kebanggaan negara kelak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bakat muda yang dicungkil melalui program ini adalah Dania Sofea Zaidi, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai, Johor yang juga juara MSSM 2018 dan 2019.

“Saya meminati pemain badminton wanita Taiwan, Tai Tzu Ying dan ingin menjadi lebih bagus daripadanya satu hari nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 19 Oct 2019