Drop Shot: Jin Wei mampu bangkit semula

JIN Wei. FOTO Luqman Hakim Zubir
Datuk Seri Jalani Sidek

MINGGU lalu, kita menerima khabar kurang enak apabila perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa menjalani pembedahan usus yang menyaksikan dia bakal berehat panjang.

Saya tahu, bukan mudah untuk Jin Wei melakukan keputusan itu selepas sekian lama menderita ketika khidmatnya sangat diperlukan untuk Sukan SEA Filipina dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kini, sudah sah pemain berusia 19 tahun itu tidak akan beraksi di Filipina dan juga tidak mampu untuk layak ke Tokyo. Saya bersetuju dengan keputusannya untuk melakukan pembedahan itu kerana apa yang penting ialah Jin Wei perlu memikirkan soal kesihatannya.

Tidak guna untuk memaksanya bermain di Sukan SEA hanya semata-mata untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur jika dia bermain dalam keadaan yang menderita menahan sakit.

Memanglah ketiadaan Jin Wei akan memberi impak besar kepada kem badminton negara terutamanya di Sukan SEA tetapi kita harus menerima hakikat dia saja yang terbaik ketika ini.

Jadi, usahlah terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada barisan pemain lain.

Untuk Jin Wei, dia tidak perlu berputus asa kerana usianya masih muda dan peluang untuk beraksi di Olimpik seterusnya sangat cerah.

Saya melihat Jin Wei dari sisi yang berbeza berbanding pemain lain. Dia adalah seorang pemain berbakat dan masa depan untuk pemain wanita negara.

Jadi bukanlah sesuatu yang mustahil untuknya bangkit semula selepas ini meskipun bakal bermula dari bawah semula.

Standard yang diletakkan Jin Wei sebelum ini cukup tinggi dan atas faktor itu saya percaya dia akan kembali dengan kejayaan lebih bergaya selepas ini.

Jumpa lagi.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 20 Oct 2019