Nak bagi biasa...

RUMPUT tiruan di Stadium Memorial Rizal adalah daripada gred terbaik.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PENGENDALI skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tentunya perlu membuat ‘kerja rumah’ lebih awal dengan meninjau keadaan padang sintetik di Stadium Memorial Rizal di Manila - venue yang akan menjadi gelanggang acara bola sepak di Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Kim Swee pasti mahu mengenalpasti permukaan padang sintetik untuk temasya itu nanti sebelum mencari venue seakan-akan sama di sekitar Lembah Klang bagi latihan pusat anak buahnya.

Katanya, pengalaman beraksi di Kejuaraan AFF B-22 di Kemboja, Februari lalu yang menyaksikan pasukan gagal melepasi peringkat kumpulan, mengajar mereka untuk melakukan persiapan lebih rapi terutama apabila beraksi di atas padang tiruan.

Jelasnya, ketika ini terdapat tiga venue padang sintetik yang mempunyai spesifikasi dan standard sama dengan Stadium Memorial Rizal di Manila.

Antara tiga lokasi cadangan pusat latihan kem skuad B-22 ialah Rhino KV Arena di Shah Alam, padang sintetik Institut Semarak Felda Bangi dan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang dengan masing-masing menggunakan permukaan jenis FT XP 50 DT.

“Daripada pengalaman, kami mengambil iktibar terutama perlu berlatih terlebih dulu di padang sintetik di mana kita ada banyak kemudahan seumpama itu di Malaysia. Kami perlu menyesuaikan diri sebelum ke Manila.

“Padang sintetik ini bermacam jenis dan apa yang saya dapati di Manila ia gred yang sangat baik. Saya sudah ke sana tiga minggu lalu untuk melihat sendiri keadaan padang sintetik di sana. Saya dapati keadaannya cukup memuaskan.

“Ketika ini yang terbaik adalah di Rhino Shah Alam yang mempunyai jenis lebih kurang sama selain Stadium Felda di Jengka dan padang latihan Felda di Bangi. Tiga tempat itu antara beberapa padang latihan yang akan kita gunakan,” katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan Arena Metro, Rabu lalu, penyerang kebangsaan, Safawi Rasid melahirkan kebimbangan mengenai penggunaan padang tiruan yang boleh menggagalkan usaha meraih ibu segala pingat pada temasya dwitahunan itu.

Menurut Safawi, teknik permainan di atas rumput asli dan tiruan jauh berbeza di mana pemain perlu memberi sepenuh perhatian terhadap kelajuan dan lantunan bola.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 20 Oct 2019