Dua tekong digantung sembilan bulan

Ahmad Ismail (dua kanan) pada sesi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PSM di Cyberjaya. FOTO NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

TEMPOH penggantungan selama dua tahun ke atas dua bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak dikurangkan kepada hanya sembilan bulan. 

Keputusan itu dimuktamadkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sejurus selesai mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang bersidang di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini. 

Namun, dua pemain berkenaan dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 45 jam berbanding 30 jam sebelum ini. 

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya menerima rayuan dua bekas tekong itu dan meneliti semua faktor demi pembangunan sukan berkenaan. 

"Selain pengurangan tempoh penggantungan itu, mereka diberi kelonggaran untuk hanya menyertai kejohanan mewakili majikan masing-masing iaitu MARA bagi Syahir dan Zulkifli untuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). 

"Bagaimanapun, dalam tempoh itu, mereka perlu menjalani hukuman tambahan selama 15 jam untuk pembangunan sepak takraw," katanya ketika ditemui Arena Metro.  

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan yang juga Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz.  

Kata Ahmad, pihaknya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai keputusan itu yang dianggap terbaik bagi dua pemain terbabit.  

Dalam pada itu, beliau turut sudah memuktamadkan senarai pemain yang akan menyertai Sukan SEA Filipina termasuk barisan tekong dalam acara regu lelaki dan wanita.  

Penggantungan ke atas Syahir dan Zulkifli berkuat kuasa 27 Jun lalu menyebabkan mereka dilarang bermain dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sepak takraw sama ada dalam mahupun luar negara. 

Mereka digugurkan daripada skuad negara Jun lalu atas alasan disiplin namun tampil menafikannya. 

Pencapaian terbaik dua bekas tekong itu adalah menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir di Hiroshima pada 1994.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 20 Oct 2019