70 peratus atlet sudah disuntik

Ahmad Faedzal galak atlet dapatkan suntikan vaksin. FOTO NSTP
BERNAMA

HAMPIR 70 peratus atlet negara ke Sukan SEA Filipina 2019 bulan depan telah mendapat suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan penuh di Institut Sukan Negara (ISN), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli.

Beliau berkata 20 peratus lagi atlet akan mendapat suntikan vaksin dan pemeriksaan kesihatan dalam tempoh dua minggu manakala baki 10 peratus lagi yang kebanyakan sedang menjalani latihan di luar negara digalakkan untuk berbuat demikian selewat-lewatnya tiga minggu sebelum temasya diwtahunan itu bermula 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Ahmad Faedzal yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, berkata, atlet kebangsaan yang terus terbang ke Filipina daripada luar negara turut diarahkan mendapatkan suntikan vaksin di negara berkenaan, namun perlu melaporkan perkara berkenaan kepada pegawai ISN untuk tujuan pengesahan rekod.

Beliau berkata kepada media selepas melawat skuad bola keranjang lelaki dan wanita negara di Wisma MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Acara bola sepak menjadi acara pertama membuka gelanggang pada 25 Nov ini di Manila.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) telah mengambil 200 sampel atlet bagi memastikan mereka bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum bertanding pada Sukan SEA 2019.

“Kita akan maklumkan kepada pengurus pasukan sukan masing-masing, terutamanya pada kem latihan pusat fasa akhir nanti mengenai kepentingan atlet kebangsaan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai ujian antidoping di Filipina nanti termasuk TUE di mana mungkin ada sebahagian atlet yang mengambil ubat-ubatan,” jelas Ahmad Faedzal.

Menurut kod Jawatankuasa Antidoping Dunia (WADA), seseorang atlet yang perlu menggunakan ubat yang kebetulan termasuk dalam senarai bahan dilarang untuk merawat penyakit atau keadaan perlu mengemukakan Pengecualian Penggunaan Terapeutik (TUE) kepada penganjur.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata, beliau bersama seorang lagi timbalan kontinjen, Nurul Huda Abdullah dan ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan membangkitkan beberapa perkara pada mesyuarat terakhir Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila dari 28-30 Oktober ini.

Antara perkara yang bakal dibangkitkan adalah persiapan venue, pergerakan kontinjen, makanan halal dan persediaan tuan rumah untuk menganjurkan Sukan SEA 2019.

Sukan SEA 2019 membabitkan 56 acara di tiga kluster iaitu, Manila, Clark dan Subic.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 21 Oct 2019