SKUAD kick boxing mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan SEA 2019 di Filipina.
Sasaran itu dianggap realistik memandangkan acara berkenaan pertama kali dipertandingkan di temasya dwi tahunan itu.
Pengurus pasukan, Dr John Mohd Rahim berkata, pada masa sama banyak aspek teknikal belum diketahui termasuk pengiraan markah ditetapkan tuan rumah, Filipina.
Katanya, lima atlet termasuk jaguh muay thai dan negara, Mohammed Mahmoud dan Awangku Abd Rahman Awang Maraja akan mewakili negara.
“Oleh kerana mereka jaguh muay thai, tiada masalah untuk bertanding acara kick boxing, tambahan banyak menyertai kejohanan sama di dalam dan luar negara.
“Atlet kita juga berlatih secara agresif sejak Februari lalu hingga kini di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) bersama skuad muay thai di bawah bimbingan ketua jurulatih, Khoo Meng Yang,” katanya pada sidang media di MSN hari ini.
Sementara itu Khoo berkeyakinan tinggi anak didiknya mampu meraih pingat dalam acara kick boxing dengan tuan rumah Filipina dan Indonesia dianggap pencabar terkuat.
“Atlet kita sangat bagus dalam muay thai dan kick boxing serta berpengalaman menyertai banyak kejohanan.
“Kami hanya perlu bantu mereka belajar peraturan kick boxing seperti tidak boleh guna siku dan lutut. Dari segi kekuatan, kelajuan dan stamina mereka sudah ada kerana muay thai dan kick boxing tidak banyak beza,”katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohammed dan Awangku Abd Rahman mengakui sudah dapat menyesuaikan diri dengan baik bagi peraturan kick boxing sejak dibimbing oleh Khoo.
© New Straits Times Press (M) Bhd