Rayzam teruja pertahan emas Sukan SEA

RAYZAM ketika beraksi pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu. — FOTO Yazit Razali
BERNAMA

OLAHRAGAWAN Sabah 2017-18, Rayzam Shah Wan Sofian menjadikan anugerah yang diterimanya malam tadi sebagai pendorong semangat dalam usaha mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Filipina bulan depan.

Menurutnya, anugerah yang diterima buat kali kedua selepas 2007 itu adalah berdasarkan kepada pencapaian cemerlangnya pada 2017, terutamanya ketika memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun dalam acara 110 meter lari berpagar pada di Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman.

Atlet kelahiran Keningau itu berkata, dia tidak menyangka menerima anugerah itu kerana atlet lain dalam senarai akhir turut bertindak cemerlang dalam acara masing-masing.

Kini tumpuannya adalah menghadapi Sukan SEA Filipina untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Kuala Lumpur 2017.

“Saya berada pada tahap terbaik untuk mempertahankan pingat emas,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Negeri Sabah yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Kota Kinabalu, malam tadi.

Sebagai persiapan akhir dia akan berlepas ke Manila esok untuk menjalani latihan intensif.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 23 Oct 2019