KETIKA rata-rata atlet negara mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan, atlet ping pong negara, Karen Lyne pula memerah otak menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun di sebalik kekangan masa dialaminya ketika ini, Karen tidak pernah putus semangat untuk membantu skuad negara meraih pingat menerusi acara beregu bersama Ho Ying.
"Saya akan cuba memberi fokus sepenuhnya kepada peperiksaan SPM. Pada masa sama saya juga perlu menghadiri sesi latihan bersama Ho Ying.
"Sudah tentu saya mahu meraih keputusan baik bagi setiap subjek terutama subjek penting. "Saya akan menghadapi peperiksaan dengan kertas terakhir ialah Sains pada 27 November. Kemudian saya bersama pasukan akan ke Filipina pada 4 Disember," katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, pengurus pasukan Dr Chin Kuen Liang berkata, pihaknya akan menghantar seramai lapan atlet dengan sasaran meraih satu pingat.
"Kalau boleh kami mahu memenangi lebih banyak pingat tetapi berbanding dua tahun lalu di Kuala Lumpur, acara seperti berpasukan tidak dipertandingkan. Jika ia dipertandingkan kami yakin mampu memenangi lebih banyak pingat," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd