Misbun yakin Aidil mampu galas tugas

AIDIL Sholeh sandaran negara di Sukan Sea Filipina.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

KETUA jurulatih skuad badminton lelaki, Datuk Misbun Sidek mengakui tidak bimbang jika Aidil Sholeh Ali Sadikin diturunkan selaku pemain ketiga dalam aksi berpasukan Sukan SEA Filipina 2019.

Menurutnya, jika Aidil Sholeh diturunkan untuk aksi peringkat awal, beliau yakin pemain berkenaan tidak berdepan masalah untuk menggalas tugas itu.

"Kalau jumpa pemain lebih bagus daripada dia juga saya rasa tidak ada masalah buatnya. Masalahnya sekarang adalah di kejohanan yang berlangsung agak panjang, jadi ketika di peringkat suku akhir dan separuh akhir dia mungkin akan mengalami keletihan," kata Misbun. Malaysia berdepan Filipina dalam acara berpasukan untuk mencari slot ke separuh akhir dan dijangka menentang Singapura bagi perebutan ke final.

"Setakat berdepan Filipina, jika Aidil Sholeh diturunkan ataupun perlawanan diheret ke penentuan perseorangan ketiga saya yakin dan optimis dengan kemampuannya. Lagi pun selepas sembilan bulan sehingga sekarang saya tengok dia ada menunjukkan peningkatan prestasi dan menonjol ketika berlatih," kata Misbun.

Ujar legenda perseorangan lelaki negara itu, Aidil Sholeh juga menonjol dari segi kecergasan dan keyakinan selepas banyak modul latihan diberikan kepada pemain berusia 19 tahun itu, "Setidak-tidaknya dia sudah menyertai empat kejohanan dan semuanya mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang saya harapkan. Dia sekarang ini hanya belum mendapat kejuaraan saja dan saya rasa dalam beberapa bulan lagi dia mampu melakukannya," kata Misbun.

Aidil Sholeh dijangka bersaing dengan Lim Chong King untuk diturunkan dalam acara berpasukan lelaki, manakala dua lagi pemain perseorangan lelaki yang akan beraksi di temasya berkenaan ialah Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 24 Oct 2019