PASUKAN petanque negara kini lebih yakin untuk beraksi di Sukan SEA Filipina selepas jurulatih berpengalaman, Zani Lisa Mohamed disahkan sudah kembali semula membimbing pasukan.
Pengurus petanque negara, Muhammad Iskandar Dzul Qarnain Wan Lateff mengesahkan jurulatih berusia 53 tahun itu sudah pun melaporkan diri.
"Dia sudah menyertai latihan pasukan. Cumanya hari ini dia tidak dapat hadir. Perkara membabitkan dirinya sudah diselesaikan iaitu berkenaan statusnya bersama sebuah kelab dari Indonesia sekali gus tidak lagi mempunyai komitmen di sana.
"Sekarang dia sudah bersama skuad negara secara sepenuh masa," katanya pada sidang media hari ini.
Zani Lisa menjadi watak penting di sebalik kejayaan pasukan negara memenangi dua emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Dia kemudian meninggalkan pasukan petanque negara untuk ke Indonesia tetapi kini kembali semula bersama skuad kebangsaan. Pasukan petanque negara menyasarkan satu emas di Filipina selepas tuan rumah menggugurkan tiga acara iaitu individu lelaki, individu wanita serta beregu campuran.
© New Straits Times Press (M) Bhd