Pasport tamat tempoh jadi penghalang

WAN Kuzain (kiri) cipta nama bersama kelab Sporting Kansas City.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

MASALAH pasport sudah tamat tempoh mungkin meragut impian penyokong bola sepak tempatan untuk melihat kelibat bintang dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal beraksi bersama skuad negara buat kali pertama bersama pasukan bawah 22 (B-22) di temasya Sukan SEA Filipina penghujung November ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pasport pemain yang memiliki darah Malaysia itu disahkan sudah tamat tempoh dan tonggak tengah kelab Sporting Kansas City itu perlu pulang segera ke Malaysia bagi membolehkan segala urusan dokumentasi diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, dengan berbaki lebih kurang sebulan sebelum sepak mula saingan Sukan SEA bermula pada 25 November depan, Kuzain dilihat tidak mempunyai banyak masa dengan urusan pasport serta pendaftaran pemain mengambil tempoh selama 10 hari.

"Kuzain memang ada pasport Malaysia tetapi pasport itu agak lama, dan pasport itu dah tamat tempoh. Ia memerlukan Kuzain sendiri datang ke Malaysia untuk buat yang baharu. Benda itu memerlukan masa dan Kuzain pun ada komitmen dengan kelab (Sporting Kansas City) dan tidak boleh turun begitu saja dari Amerika sebab perjalanan yang jauh.

"Jadi hanya menunggu masa sesuai untuk datang ke Malaysia dan selebihnya mengenai soal penglibatannya itu terpulang Datuk Ong Kim Swee (jurulatih B-22). Cuma dalam senarai awal 40 pemain nama Kuzain memang ada," katanya ketika ditemui pada sesi praktikal bagi "FIFA Football For Schools Programme-Regional Workshop" di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemain kelahiran Illinois di Amerika Syarikat (AS) itu menyuarakan hasratnya untuk mewakili skuad negara pada temasya dwi tahunan itu. Malah, bapanya yang berasal dari Kelantan juga bekas pemain bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan kehadiran Kuzain jelas mampu memberi nilai tambah kepada skuad negara.

Skuad negara bakal memulakan latihan pada 4 November dan dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 24 Oct 2019