KETIADAAN nama pemain Sporting Kansas City, Wan Kuzain Wan Kamal dalam senarai 28 pemain bagi latihan pusat fasa pertama menjelang saingan Sukan SEA di Filipina hujung bulan depan menimbulkan tanda tanya peminat bola sepak tempatan.
Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan, ketiadaan nama anak Malaysia yang mencipta sensasi di bumi Amerika Syarikat itu bukan disebabkan atas faktor digugurkan, sebaliknya Kuzain masih berada dalam perancangannya untuk ke temasya dwitahunan itu.
Katanya, beliau mahu Kuzain menyelesaikan dulu perkara berbangkit termasuk soal dokumentasi membabitkan pasport Malaysia yang sudah tamat tempoh.
“Seperti saya katakan sebelum ini, masih lagi awal dengan Kuzain pun masih bersama kelabnya ketika ini. Kami juga masih cuba menyelesaikan beberapa perkara untuk pastikan tiada masalah apabila Wan Kuzain dipanggil nanti,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.
Jelasnya, Kuzain mungkin akan menyertai latihan pada fasa kedua pada pertengahan bulan depan.
“Saya ada tiga fasa pemain yang akan bersama kami. Pertama iaitu pemain yang akan hadir melapor diri Isnin ini sebaik sahaja tamat Piala Malaysia.
“Manakala fasa kedua ialah lima pemain B-19 yang akan menyertai pasukan selepas tamat kelayakan (Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia) di Kemboja. Manakala, fasa terakhir ialah selepas kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia yang membabitkan pasukan senior.
“Kemungkinan dia akan hadir pertengahan November atau lebih awal jika segala perkara berkaitan selesai. Tapi ia terpulang kepada pihak pengurusan dan saya percaya mereka sedang melakukan yang terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd