Pecah rekod 12 tahun

ATLET Sabah, Andre Anura. FOTO Abdullah Yusof
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

JAGUH lompat jauh negara, Andre Anura Anuar mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Berwang di Sabah, semalam.

Atlet berusia 20 tahun kelahiran Tenom itu mencatat jarak lompatan 7.90 meter (m), sekali gus mengatasi rekod 12 tahun yang dipegang Josbert Tinus pada Terbuka Thailand 2007.

Selain meleburkan rekod 7.88m itu, Andre memperbaiki catatan peribadi terbaiknya 7.72m sebelum ini.

Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, kejayaan itu dianggap berita gembira dan memberi suntikan baharu kepada semua atlet untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

“Andre sememangnya sudah membuat persediaan terbaik terutama mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi Sukan SEA Filipina nanti.

“Saya berharap beliau dapat mengekalkan prestasi itu untuk mencatat jarak lompatan lebih tinggi sekali gus meraih pingat buat negara,” katanya.

Kata Mohd Manshahar, catatan itu bagaimanapun akan direkodkan secara rasmi oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengikut prosedur ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) terutama membabitkan urusan dokumentasi.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Andre enggan dilabel sebagai ‘raja batal’ ekoran kegagalan menyempurnakan lompatan dalam beberapa acara termasuk Kejohanan Olahraga Asia (ATF) dan bertekad memperbaiki prestasi ke Sukan SEA yang kali pertama disertainya.

Berdasarkan laman web IAAF, Andre berada di ranking kedua peringkat Asia Tenggara di belakang atlet Indonesia, Sapwaturahman yang mencipta jarak lompatan 7.97m.

Tiga lagi atlet negara, Abdul Latif Romly (7.49m), Muhammad Nazri Mustafa (7.45m) dan Luqman Hakim Ramlan (7.34m) pula masing-masing di ranking kelima, keenam dan 10.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 03 Nov 2019