Kim Swee sabar tunggu Kuzain

WAN Kuzain hadapi masalah pasport. - FOTO Agensi
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PENGENDALI skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tetap akan menunggu kepulangan pemain Sporting Kansas City, Wan Kuzain Wan Kamal meskipun dia dilaporkan masih bergelut dengan masalah untuk mendapatkan pasport negara ini.

Jelas Kim Swee, beliau dan Wan Kuzain sentiasa berkomunikasi untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dengan dirinya sendiri akan berusaha memastikan impian pemain berdarah Malaysia itu untuk beraksi buat pasukan kebangsaan tercapai.

Katanya, Wan Kuzain cukup bersemangat menabur bakti bersama skuad B-22 negara terutama di temasya Sukan SEA di Filipina penghujung bulan ini.

"Saya dan Wan Kuzain sentiasa berhubung bagi mengetahui dan mencari jalan untuk membawa pulangnya ke sini. Saya tahu Wan Kuzain mempunyai niat untuk bermain dengan kita.

"Saya akan selesaikan dengan segera beberapa perkara sebelum bawa dia pulang kerana jurang untuk ke Sukan SEA sudah tidak lama. Saya akan buat keputusan sama ada pada awal minggu depan atau lewat minggu depan," katanya ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sebelum ini, pengendali berusia 48 tahun itu mengakui menyenaraikan Wan Kuzain dalam senarai akan dipanggil dalam sesi latihan awal B-22.

Namun, dalam senarai rasmi dikeluarkan baru-baru ini, nama Wan Kuzain tidak tersenarai dengan Kim Swee mengesahkan masih ada beberapa perkara belum diselesaikan sebelum pemain itu melaporkan diri.

Jelas Kim Swee, pintu buat pemain itu masih terbuka dan tidak panik sekiranya pemain itu masih belum tiba dalam masa terdekat.

"Saya ada dua hari (pendaftaran akhir nama pemain pada 23 November) sebelum sepak mula Sukan Sea pada 25 November di mana saya boleh daftarkan pemain daripada senarai 40 pemain.

Jadi, tiada masalah untuk Wan Kuzain datang lewat sikit," katanya.

Sebelum ini, menerusi pendedahan Arena Metro, bapa Wan Kuzain iaitu Dr Wan Kamal mengesahkan harapan untuk melihat anaknya beraksi buat skuad B-22 mungkin terkubur ekoran kegagalan untuk mendapatkan pasport Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 05 Nov 2019